Rabu, 13 April 2011

Obama mahu sepenggal lagi

Ketika dunia Arab sedang bergolak ekoran pemberontakan penduduk di beberapa negara Arab untuk menggulingkan kerajaan mereka dan Jepun bergelut menangani krisis nuklear berikutan gempa bumi, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pula mula sibuk menyusun strategi bagi menyambung pentadbirannya selama sepenggal lagi.
Obama mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan jawatannya itu pada 4 April lalu, ketika Tentera Bersekutu rancak melancarkan serangan ke atas Libya bagi menguatkuasakan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 17 Mac lalu bagi melindungi penduduk awam Libya.
Presiden AS itu menyatakan bahawa dengan pengumumannya itu, penyokongnya akan memulakan kempen bagi persiapannya menghadapi pilihan raya Presiden AS pada 2012. Sebenarnya tidak banyak kejayaan yang dibawa Obama, 49, sepanjang pentadbirannya sebagai Presiden AS ke-44 sejak mengambil alih teraju AS daripada George W. Bush pada 20 Januari 2009.
Kegagalan paling ketara Obama ialah rancangannya untuk menutup Pusat Tahanan Guantanamo dan kegagalan rundingan damai Israel-Palestin. Kegagalan menutup pusat tahanan itu bukan sahaja memberi satu tamparan hebat kepada Obama tetapi juga memperlihatkan kelemahan pentadbirannya bagi menjayakan kempennya pada pilihan raya Presiden AS 2008.
Kegagalan rundingan damai Israel-Palestin pula menggambarkan Obama tidak ada beza dengan presiden-presiden AS terdahulu, tunduk kepada telunjuk Israel. Ia sekali gus memperlihatkan kempennya untuk memulihkan imej AS di mata dunia Islam seperti yang dijanjikan turut hancur.
Malahan imej AS di kaca mata dunia Islam terus tercalar, berikutan tindakan AS mengetuai kempen di Majlis Keselamatan PBB dan kempen ketenteraan bagi mengenakan sekatan penerbangan ekoran krisis di Libya, sebelum menyerahkan mandat itu kepada Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Ketika Obama berusaha memulihkan imej AS di mata dunia Islam, Presiden kulit hitam pertama AS itu mengotorkan tangannya dengan darah penduduk Islam di Libya atas nama melindungi penduduk awam.
Di AS sendiri, Obama tidaklah begitu menyerlah terutama dalam memulihkan ekonomi negara kuasa dunia utama itu. AS masih dibelenggu dengan krisis ekonomi dan pengangguran yang teruk.
Maka tidak hairanlah mengapa Obama menawarkan diri untuk menyambung pentadbirannya, kerana beliau mahu mengambil peluang itu bagi menunaikan semua janji-janji yang ditaburnya semasa kempen pilihan raya Presiden pada 2008 lalu.
Dengan pengumuman Obama itu, kita akan sekali lagi dapat menyaksikan kehebatan Obama berpidato melalui kempen-kempennya pada pilihan raya Presiden AS 2012 untuk mempertahankan jawatan bagi mentadbir AS sepenggal lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan